Sunday, December 20, 2009

:: Langkah Seterusnya, Ke Mana ? ::

Alhamdulillah. Diberikan kita nafas untuk mengharungi tahun baru ini dengan semangat yang lebih membara. Langkah perjalanan hidup perlu diteruskan menuju destinasi yang tepat. Sejauh mana perlunya melangkah, itu masing-masing yang punya rencana.

Masih ada diantara kita yang samar-samar dalam mencatur pergerakan langkah dan corak permainan hidupnya. Masih sukar meninggalkan tabiat lama yang ternyata sudah sebati dalam jiwa. Gelojak nafsu muda belum dapat ditewaskan atau dibiarkan begitu saja. Niat suci dalam hati belum pasti akan dituruti lantaran jiwa berbelah bahagi.

Buat diri sendiri, masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Sememangnya hidup ini lebih menuntut agar kita berbakti dan berbaik-baik sesama sendiri. Cuma kadang kala jiwa terusik pabila ada antara teman yang masih gagal menyempurnakan penghijarahan diri. Yang di mulut pinta begini, tapi dihati was-was lagi.

Usia menginjak makin meninggi dan tidak mungkin dapat diputar kembali. Mencari kepuasan duniawi hingga melupakan bekalan mati boleh mengundang azab yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini. Yang telah berlaku, segala kekhilafan atas nama seorang insan patut dijadikan tauladan dan sempadan bagi memulakan perjalanan yang baru.

Sejauh mana kita bersedia melakukannya, tepuk dada tanya jiwa dan minda. Segalanya terletak pada akal yang dibekalkan pada kita. Keseronokan yang dirasai sekarang hanyalah pinjaman semata dan bisa direntap tanpa usul periksa. Bersedialah menghadapi segala apa. Bersedia dengan segala kelengkapan dan amalan yang berganda.

Jangan tewas pada ajakan si Iblis durjana dan syaitan derhaka. Sama-samalah kita lakukannya! Moga perjalanan tahun ini lebih bermakna!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...