Kehadapan pihak pengurusan Seri Malaysia Kuala Terengganu,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih diatas perkhidmatan yang diberikan sepanjang penginapan saya dan rakan-rakan bermula Isnin, 6 Disember 2010 hingga Ahad 12 Disember 2010.
Namun begitu, atas dasar tanggungjawab dan prihatin seorang pengunjung, ingin disini saya kongsikan beberapa pengalaman dan sedikit luahan agar boleh diambil berat oleh pihak pengurusan Seri Malaysia Kuala Terengganu (disebut sebagai SMKT selepas ini) dan seterusnya diperbaiki untuk memastikan khidmat yang lebih cemerlang di masa hadapan.
Berikut adalah perkara-perkara yang saya ambil kira perlu diberikan perhatian :
1. Melangkah masuk ke dalam bilik sahaja, bau masam sudah mula terhidu di liang hidung saya. Mungkin SMKT boleh mempertimbangkan untuk meletakkan penyegar udara (air freshener) di setiap bilik. Tak perlu yang berjenama mahal dan menggunakan elektik atau bateri AAA, cukuplah yang boleh digantung di dalam bilik. Sekurang-kurangnya ia dapat memberikan impresi pertama yang baik.
2. Beberapa langkah masuk ke dalam bilik, langkah terbantut kerana kaki terasa lembabnya karpet. Barangkali inilah punca bau masam yang saya hidu tadi. Bila ditinjau dekat, saya jangka air itu datangnya dari peti ais mini dibawah meja solek. Tiadakah seorang pun pekerja housekeeping yang berhadapan dengan situasi ini? Atau tidak adakah sebarang rungutan diterima dari penginap sebelum ini? Saya khuatir jika kelembapan itu berpunca dari saliran air yang pecah dari dinding. Ia akan menimbulkan masalah baru - kulapuk.Sungguh menakutkan.
3. Sudah masanya untuk SMKT menukar ganti set bilik tidur. Tak perlu material yang terlalu mahal namun cukup jika menggunakan warna-warna yang lebih ceria dalam deko. Ini kerana comforter, selimut, cadar, sarung bantal kelihatan agak kusam. Kerana ini, SMKT kelihatan tidak relevan untuk bercuti dan menenangkan fikiran walaupun terletak berhadapan lautan biru. Secara tidak langsung ia kelihatan seolah-olah sebuah hotel bajet tempat muda-mudi melampiaskan nafsu serakah.
4. Masa mandi juga agak menggusarkan kerana tuala yang dibekalkan sudah tidak berwarna putih lagi. Kelihatan seperti sehelai kain lap sudah rupanya. Malah, ianya juga tidak lembut dan agak kesat untuk digunakan. Apalah salahnya jika SMKT laburkan sedikit keuntungan untuk membeli softener. Selain dari melembutkan tuala ia juga meninggalkan bauan yang harum.
5. Hakikat SMKT melanggan saluran tv satelit memang bagus. Dengan pilihan yang tidak mengecewakan Star, Disney / Cartoon Network, Nat Geo, TV1/2/3/9, 8TV, NTV7 - ia dilihat merangkumi setiap lapisan umur sehinggalah skrin tv bertukar ke warna kelabu setiap 5 minit sebelum stabil sepenuhnya selepas 20 minit dibiar pasang. Terpaksalah penginap berimaginasi sebagai seorang buta dan hanya mendengar berita Buletin Utama dibaca tanpa memperlihatkan visual. Agak mencabar juga hidup sebagai seorang yang cacat penglihatan rupanya. Apabila skrin sudah bergambar, 'remote control' pula mula buat hal. Bagai mahu terbenam butang2 di 'remote' ketika cuba menekan untuk menukar siaran dan menaikkan 'volume'. Nasib agak baik 'remote' tersebut tidak dibaling ke dinding kerana itu boleh menyebabkan saya dikenakan bayaran tambahan.
6. Keselesaan penginap seharusnya menjadi kepentingan SMKT. Namun, mana mungkin keselesaan itu dicapai apabila kami terpaksa berkongi dengan 'penghuni' lain yang tidak berdaftar. Bayangkan 'anak2 kecil' melompat-lompat di atas katil ketika kita sedang enak beradu. Atau bagaimana rasanya bila mana ada seorang 'wanita' menunggu di atas katil pada pertama kali penginap masuk ke bilik setelah selesai check in dikaunter? Bagaimana pula dengan tuala yang senantiasa berubah kedudukan setiap kali selepas bangun dari tidur? Dan adanya seorang 'maid' yang sentiasa memerhatikan kita tidur dari kerusi bersebelahan tingkap perlu dianggap normal? Sungguh misteri nusantara. Dan mungkin juga, selimut yang ditarik ketika tidur itu hanyalah illusi sahaja? Sila panggil ulama untuk melakukan sedikit bacaan ada setiap bilik. Ada kemungkinan 'penghuni' ini telah lama disitu setelah tragedi menimpa mereka di pantai berdekatan. Nauzubillah.
7. Saya bukanlah penginap yang taksub dengan penggunaan pemanas - water heater. Namun ketika saya cuba untuk menggunakannya ianya ternyata tidak berfungsi dengan baik atau lebih tepat lagi jika saya katakan ia memang tidak berfungsi langsung! Mungkinkah ianya hanya diletakkan sebagai hiasan untuk kelihatan seperti setaraf dengan hotel / rumah penginapan lain? Saya tak pasti.
8. Komunikasi adalah sesuatu yang agak penting dan ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang menyusahkan apabila talian telefon sering putus atau 'hilang' di pertengahan perbualan. Adakah telefon itu sendiri puncanya atau talian tetap yang tersedia belum cukup bagus untuk mengelak tiupan ombak yang kuat? Malah, panggilan ke bahagian housekeeping juga sering tidak berjawab. Mungkin para pekerja terlalu sibuk melayan kerenah penginap di setiap bilik? Ya, mungkin juga.
9. Ketiadaan beg plastik untuk khidmat basuhan 'laundry'. Agak kelakar bila penginap mengambil inisiatif sendiri untuk memasukkan pakaian kotor mereka di dalam beg, dihantar untuk 'laundry' dan apabila siap...pakaian ada, beg tiada. Salah siapa?
10. Makanan untuk sarapan pagi tidak begitu mengecewakan. Namun, ada masanya ia terlalu masin atau berminyak. Ingin juga saya sarankan agar pihak SMKT dapat menyediakan bijirin - cereal seperti emping jagung (cornflakes, honey stars, koko crunch) untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang menggemari sarapan yang berat seperti nasi dagang, nasi minyak. Ia juga boleh menjadi alternatif kepada pengunjung luar negara yang datang menginap.
Saya rasa perkara-perkara diatas sudah mencakupi tujuan penulisan saya. Ada lagi isi-isi yang lain namun saya merasakan perkara yang telah disebut adalah subjek yang paling penting untuk memastikan SMKT berada setaraf dengan rangkaian hotel SM yang lain dalam menawarkan kemudahan dan perkhidmatan yang sentiasa dekat di hati para penginap.
Sekian.